Ketua pasukan Perak, Shahrul Saad, menegaskan tiada istilah kawan di atas padang walaupun pemain Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) akrab sebagai sebuah keluarga dalam skuad kebangsaan sepanjang Kejohanan Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Pemain Perak dan JDT mendominasi barisan pemain skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2018 itu.

Tatkala Perak dibarisi seramai enam pemain, JDT pula ditunjangi lapan pemain hingga menyaksikan skuad kebangsaan muncul naib juara kejohanan itu.

Namun, Shahrul selaku tonggak pertahanan sedia mengetepikan sentimen tersebut untuk memastikan langkah kanan buat The Bos Gaurus.

"Kami adalah sebuah pasukan ketika mewakili skuad negara tetapi apabila kembali ke kelab masing-masing, kami bermusuhan tetapi tetap bersahabat ketika di luar padang," katanya.

Sementara itu, kapten Harimau Selatan, Harris Harun, mengakui pasukannya mempunyai kelebihan untuk memenangi pertemuan itu kerana beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Tonggak Singapura itu, bagaimanapun, enggan rakan-rakannya mengambil mudah cabaran lawan dalam usaha mengekalkan trofi kejuaraan di Johor.

"Kami akan turun untuk membuktikan usaha yang dilakukan setiap musim, iaitu memperbaiki prestasi.

"Kami akan berdepan cabaran lebih hebat setiap tahun kerana semua pasukan ingin mengalahkan kami," kata Harris.