Skuad bawah 18 tahun negara bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sekolah Tinggi Maebashi Ikuei 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, hari ini.

Malaysia jelas gagal memulakan aksi dengan baik dalam separuh masa pertama apabila ketinggalan 1-0 hasil jaringan Isukui Inomoto pada minit ke-29.

Tetapi Malaysia bangkit dengan mencipta beberapa lagi peluang dan hasilnya gol penyamaan berjaya diraih oleh Arham Khussyairi Abdul Wahab pada minit ke-64.

Jaringan itu menyuntik semangat untuk pemain negara meningkatkan serangan dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak akhirnya menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Jurulatih pasukan negara, Bojan Hodak, nyata berpuas hati dengan persembahan yang diperagakan anak buahnya dan mengakui aksi pertama dalam mana-mana kejohanan sentiasa sukar.

"Banyak kesukaran yang dapat dilihat di mana kami buntu untuk menjaringkan gol dan kita boleh lihat betapa laju pemain Jepun, malah pemain Liga Super Malaysia pun tidak sepantas itu.

"Ini masalah pemain-pemain saya tetapi mereka perlahan-lahan menyesuaikan diri. Kami mempunyai beberapa peluang dan akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan. Saya fikir mereka mendapat suntikan semangat," kata Hodak sejurus selepas perlawanan itu.