Skuad B-18 negara menamatkan saingan Piala Sanix di tempat ke-12 selepas menewaskan Izhorets Inkon FC dari Russia 3-1 dalam aksi penentuan tempat ke-12 dan 13 di Fukuoka, Jepun hari ini.

Pengendali skuad negara, Bojan Hodak, menurunkan barisan terbaik untuk memastikan kemenangan buat barisan muda negara.

Babak pertama menyaksikan jentera skuad negara yang diterajui kapten pasukan, Hadi Fayyadh Abdul Razak, kerap menguji benteng lawan.

Usaha skuad negara mula membuahkan hasil apabila Hadi menemui sasaran pada minit ke-21.

Barisan muda negara terus mencipta beberapa lagi peluang gol, namun gagal menambah jaringan sehingga tamat babak pertama.

Sejurus babak kedua bermula, Izhorets menyamakan kedudukan menerusi rembatan kapten pasukan, Vladislav Makeev.

Tersentak dengan jaringan lawan, skuad negara segera bangkit apabila Hadi meledak gol kedua pada minit ke-54.

Skuad negara terus mendominasi saingan dan mengesahkan kemenangan apabila Hadi melengkapkan hatriknya pada minit ke-73.

"Ini merupakan perlawanan yang sukar. Kedua-dua pasukan memberikan tekanan untuk menghasilkan gerakan.

"Kami dapat melihat pasukan Eropah sangat berdisiplin dengan taktikal mereka tetapi kami berjaya menghasilkan kemenangan dalam perlawanan ini," kata Hodak.

"Skuad muda Malaysia bermain lebih baik daripada kami dan mereka lebih dahagakan kemenangan. Sebagai sebuah skuad kebangsaan, sudah pasti Malaysia tampil dengan permainan lebih tersusun," kata jurulatih Izhorets, Sergei Eliagin.