Pertahanan skuad B-18 negara, A. Shivan Pillay, menyifatkan Kejohanan Piala Sanix sebagai kejohanan kompetitif yang mampu memberi pendedahan penting buat barisan pemain muda.

Saingan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun disertai 12 pasukan remaja terbaik Jepun serta empat pasukan jemputan.

Bagi Shivan, tempo permainan dalam kejohanan itu jauh lebih pantas berbanding ketika dia mewakili PKNS FC dalam Piala Presiden.

"Pemain-pemain dalam kejohanan ini di tahap yang berbeza.

"Kami berjaya memberikan saingan dan ini pengalaman yang baik buat pemain.

"Tahap permainan mereka lebih tinggi daripada di Malaysia," katanya.

Shivan dan ketua pasukan, Hadi Fayyadh Abdul Razak, merupakan dua anggota senior yang disandarkan harapan pengendali negara, Bojan Hodak, dalam saingan di Jepun itu.

Namun, Shivan tidak berasa tertekan atau kesukaran dalam memimpin rakan sepasukan memandangkan sudah berpengalaman bersama skuad B-19 dan B-23 negara.

"Saya tidak berdepan sebarang tekanan. Saya cuma menjadi contoh kepada rakan sepasukan dan saling memberi sokongan antara satu sama lain," ujarnya lagi.