Pengendali skuad B-19, Bojan Hodak, berpendapat pembabitan skuad remaja terbaik negara dalam Kejohanan Piala Sanix wajar diteruskan kerana ia memberi pendedahan berguna untuk perkembangan seseorang pemain muda.

Tahap permainan tinggi serta kematangan pemain dari kelab-kelab remaja Jepun jelas sesuatu yang boleh dipelajari pemain muda negara.

Justeru, Hodak akan menyarankan kepada pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) demi meneruskan penyertaan mereka dalam Piala Sanix tahun depan.

"Saya akan berbincang dengan FAM untuk terus menghantar pasukan mengikuti kejohanan ini kerana ia memberi manfaat besar kepada pemain negara.

"Ini kerana aksi Piala Belia dan Piala Presiden, bahkan tempo sesetengah perlawanan Liga Perdana, masih lembab.

"Ini pengalaman yang cukup berguna. Walaupun menghadapi masalah cuaca dan permukaan padang, pemain perlu segera menyesuaikan diri," kata jurulatih dari Croatia itu.

Dalam enam perlawanan kempen di Fukuoka, Jepun itu, skuad muda negara merakamkan tiga kemenangan dengan 11 jaringan dilakar dan bolos tujuh kali.

Namun, hanya satu kemenangan mampu diraih ketika berdepan kelab remaja Jepun.

Malah, Hodak berasakan barisan pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) wajar terbabit dalam Piala Sanix.

"Sudah tentu, produk NFDP merupakan permulaan yang baik.

"Mereka perlu meneruskan usaha itu dan didedahkan dengan aksi lebih sengit.

"Apa yang bagusnya, mereka ke Eropah pada usia 12 tahun tetapi masalah utama di Malaysia adalah golongan pemain di antara 15 hingga 18 tahun.

"Mereka ketinggalan jauh berbanding pasukan negara yang lain.

"Oleh itu, pendedahan di Jepun penting sebelum mereka ke Eropah," katanya lagi.