Jurulatih skuad B-18 negara, Bojan Hodak, menjadikan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, bermula Khamis ini sebagai medan pemilihan buat semua pemainnya untuk diserap ke dalam skuad B-19 bagi menghadapi pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Indonesia, Oktober nanti.

Kejohanan itu menjadi misi serampang dua mata buat Hodak apabila berhasrat mencipta kejayaan di Jepun selain menilai kemampuan pemain B-18 untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

Menurut Hodak, ketika ini seramai empat pemain berpotensi untuk diserapkan, antaranya penyerang tinggi lampai, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Arif Shaqirin Suhaimi selain pertahanan, A. Shivan Pillay.

"Mana-mana pemain yang membuktikan mereka adalah yang terbaik dalam kalangan pemain sebaya mereka, maka saya akan mempelawa mereka menyertai latihan skuad B-19.

"Kemudian mereka berpeluang untuk membuktikan kemampuan dalam aksi persahabatan. Inilah langkah sama yang dilakukan di mana-mana sekalipun," kata Hodak ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini sebelum bersama-sama skuad akhir 22 pemainnnya ke Jepun.

Skuad yang dibarisi pemain generasi 2000 itu akan menentang tiga kelab Jepun, Tokio FC, Maebashi Lukei dan Ohzu.

"Perlawanan-perlawanan seperti ini akan mencerminkan kemampuan sebenar pemain.

"Ada pemain yang menyerlah semasa sesi latihan, namun apabila dalam aksi sebenar, mereka tenggelam.

"Perlawanan seperti ini penting untuk saya menilai sama ada seseorang pemain itu mampu beraksi di peringkat tinggi atau tidak," kata jurulatih dari Croatia itu lagi.