MALAYSIA B-18 2 NAGASAKI 1

Skuad B-18 negara akhirnya meraih kemenangan sulung dalam kejohanan Piala Sanix 2019 selepas menewaskan kelab remaja, Varen Nagasaki, 2-1 di Global Arena, sebentar tadi.


Bukan sahaja meraih kemenangan pertama, bahkan skuad remaja negara berjaya menghasilkan gol pertama selepas empat perlawanan.

Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Firdaus Kaironnisam menjadi watak utama dalam membantu skuad Bojan Hodak itu meraih kemenangan pertama.

Ia nyata menggembirakan Hodak dengan peningkatan prestasi barisan pemainnya walaupun hanya selepas empat perlawanan.

"Kami bermain lebih baik daripada tiga perlawanan terdahulu, cuma hari ini kami tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol.

"Pemain mula dapat menyesuaikan diri dan saya mula mengenal pasti pemain yang mampu mengisi posisi tertentu serta yang berpotensi membarisi skuad ini pada masa akan datang," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.

Skuad negara bangkit daripada ketinggalan selepas Nagasaki mendahului menerusi gol Yoshiki Shibata.

Ia ternyata meningkatkan tekanan buat Malaysia, namun Luqman meredakan tekanan itu menerusi gol penyamaan pada penghujung babak pertama.

Nagasaki semakin agresif selepas perlawanan bersambung tetapi Firdaus lebih bijak mencari ruang dengan meledak gol kemenangan Malaysia.

"Saya bangga kerana dapat menjaringkan gol pertama skuad B-18 berikutan berdepan kelab-kelab yang bermutu di Jepun," kata Firdaus.

Tambah Luqman: "Kami beraksi dengan lebih baik kerana inginkan kemenangan.

"Selepas tidak berputus asa untuk melakukan percubaan, saya akhirnya menemui sentuhan jaringan."