SAGANTOSU 5 MALAYSIA 0

Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Piala Sanix dengan menduduki tangga ke-12 selepas akur tewas kepada Sagantosu Youth 0-5 dalam perlawanan terakhir, sebentar tadi.


Ini merupakan pertemuan kedua buat Malaysia dan Sagantosu yang menyaksikan skuad bimbingan Bojan Hodak itu tewas dengan bilangan jaringan yang sama di peringkat kumpulan.

Hodak membariskan pemain-pemain utama dalam usaha untuk meraih kemenangan dan membalas dendam atas kekalahan sebelum ini.

Luqman Hakim Shamsudin terlebih dahulu memiliki peluang terbaik membuka tirai jaringan, namun sedikit kegopohan menyaksikan peluang keemasan terlepas.

Lima minit selepas itu, Sagantosu mendahului menerusi Yuhei Nishida hasil sepakan percuma yang gagal diselamatkan Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Muhammad Akmal Roslan berpeluang menyamakan kedudukan tetapi percubaannya tersasar.

Sagantosu menambah empat lagi gol selepas itu, bermula dengan sepakan penalti disusuli gol Ikkei Kumashiro, Naoki Nakamura dan Reoto Kodama.

"Inilah statistik perlawanan antarabangsa, pihak lawan membuat lapan percubaan tepat dan lima daripadanya menghasilkan jaringan.

"Kami pula terlepas peluang terhidang ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol.

"Inilah aksi antarabangsa, kalau anda memanfaatkan peluang, maka anda akan menang, kalau tersilap langkah anda pula akan dihukum," kata Hodak.