"Kami masih lagi mencari keserasian pemain," itu alasan yang diberikan ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, selepas melihat pasukannya tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam aksi Kumpulan A, Kejohanan Piala Sanix.

"Kami masih lagi dalam proses mendapatkan pasukan terbaik untuk kejohanan akan datang. Sebab itu kami menyertai saingan ini," katanya ketika masa semakin suntuk untuk mempersiapkan pasukan menjelang Kejohanan AFF B-19 tahun di Vietnam, Ogos depan.

Hodak menggunakan hampir kesemua pemain dalam tiga perlawanan, dengan skuad negara tampak sukar menyaingi penyandang juara dalam perlawanan pertama, Aomori Yamada (0-2) sebelum tewas 0-5 dalam perlawanan kedua menentang Sagantosu Youth FC.

Yamada dan Sagantosu menurunkan dua daripada pemain skuad kebangsaan B-18 Jepun, iaitu Daiki Matsuoka dan Hidetoshi Takeda.

Ia memperlihatkan betapa seriusnya kedua-dua pasukan itu berdepan Malaysia dalam Kumpulan A sementara Hodak berpandangan kurang aksi kompetitif menjadi punca Malaysia tewas ketiga-tiga perlawanan.

"Kami memiliki beberapa peluang dalam aksi pertama berdepan Yamada dan mereka merupakan antara pasukan terkuat dalam saingan kali ini. Apabila anda bermain bola sepak, anda perlu tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan dan pasukan lawan berjaya menggunakan peluang terbaik mereka untuk mengatasi kami," ujarnya.