Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, bakal membariskan kesebelasan terbaik skuad B-18 negara berdepan Ozhu dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, esok.

Selepas dua aksi peringkat kumpulan hari ini, barisan negara merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Maebashiku High School sebelum tunduk 3-0 kepada FC Tokyo.

Sehubungan itu, mereka perlu merakamkan kemenangan esok jika mahu melangkah lebih jauh dalam penampilan sulung dalam kejohanan itu.

"Ada beberapa pemain pasukan lawan yang telah beraksi bersama skuad utama dalam Liga Jepun dan kami sedar mereka berada di tahap yang berbeza.

"Tetapi selepas melakukan beberapa pertukaran, langkah itu membenarkan skuad negara beraksi dengan lebih baik.

"Kami akan terus berusaha meraih kemenangan untuk mara ke pusingan seterusnya," kata Hodak.

Bagi Hodak, Piala Sanix membolehkannya menguji pemain untuk tugasan Kejohanan AFF B-18 dan Kejohanan AFC B-19 tahun ini.

Bekas pengendali Johor Darul Ta'zim dan Kelantan itu mengakui sudah mengenal pasti beberapa pemain dalam pasukan itu yang mampu diserapkan dalam skuad B-19.

"Buat masa ini, saya tidak boleh memberikan sebarang nama kerana terdapat beberapa pemain yang mempamerkan aksi cemerlang dan penilaian akan terus dilakukan dalam aksi seterusnya," kata jurulatih kelahiran Croatia itu lagi.