Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, menyifatkan setiap kelab remaja Jepun dalam Kejohanan Piala Sanix menyerlahkan tahap permainan di tahap lebih tinggi daripada skuad B-18 negara.

Barisan muda negara gagal menempatkan diri dalam kalangan lapan pasukan terbaik dalam kempen di Fukuoka, Jepun, itu apabila tewas 2-0 kepada Ozhu dalam aksi ketiga Kumpulan A, hari ini.

Bagi Hodak, meskipun meragui keputusan pengadil perlawanan, Elanor Hayes, yang memberikan penalti pada minit ke-16, namun anak buahnya perlu mempunyai kekuatan mental untuk kekal fokus.

"Pemain sudah diingatkan mereka perlu menghadapi keadaan seperti ini.

"Penalti yang dihadiahkan pada babak pertama itu adalah satu keputusan pelik, namun mereka perlu menerimanya.

"Kalau di Malaysia, penalti seperti itu pasti tidak akan diberikan sementara pengadil juga gagal menjelaskan sebab penalti itu diberikan.

"Jelas sekali tahap kemahiran pemain di Jepun adalah lebih baik meskipun kita membariskan skuad remaja negara," katanya.

Hodak memberi jaminan, barisan muda negara akan tetap berjuang habis-habisan biarpun hanya akan beraksi dalam penentuan tempat kesembilan hingga 16, esok.

"Sudah tentu setiap perlawanan adalah penting.

"Kami akan cuba memenangi setiap perlawanan, apa yang penting kami perlu bermain lebih pantas lagi.

"Hari ini, penampilan kami lebih baik daripada semalam," katanya lagi.