Ketua pasukan hoki Melaka, Mohd Firdaus Omar, tetap tidak berpuas hati dengan prestasi rakan sepasukan ketika seri tanpa jaringan menentang Kuala Lumpur sekalipun mara ke peringkat separuh akhir Piala Razak 2021.

Melaka menamatkan cabaran selaku naib juara Kumpulan Y di belakang Perak selepas gagal memanfaatkan 10 pukulan sudut penalti di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, hari ini.

"Kami akan cuba perbaiki ketajaman dalam separuh akhir.

"Kami banyak peluang untuk jaringkan gol. Saya sebagai ketua pasukan akan analisis perlawanan ini dan menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin selepas ini," katanya.

Melaka akan menyambung perjuangan dengan berdepan Pahang sementara Perak bertemu Terengganu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

"Kami sedar kemampuan Pahang, mereka mempunyai pakar pukulan sudut penalti dan pengalaman mereka.

"Kami akan buat kerja rumah sebagai persiapan berdepan mereka esok," katanya lagi.




Sementara itu, kejutan berlaku dalam saingan wanita apabila naib juara edisi lalu, Selangor tersingkir di peringkat kumpulan selepas hanya sekadar seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur.

Selangor perlu melakar kemenangan selepas tumpas kepada Pahang.

Tambahan pula, Pahang dan Kuala Lumpur masing masing sudah pun mengutip tiga mata dalam Kumpulan X.

Anak buah Ikmal Abdul Jabar itu menguasai permainan dan dihidangkan deretan peluang.

Namun, rezeki tidak memihak kepada mereka sekali gus berputih mata untuk ke separuh akhir.

Tuah buat Kuala Lumpur apabila bakal membuat perhitungan dengan Melaka, esok.