Gol awal menjadi buruan juara bertahan, Terengganu FC III (TFC III), menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Presiden bertemu Perak di Kuala Terengganu, petang esok.

Menurut jurulatihnya, Badrul Afzan Razali, amat penting untuk TFC III segera mendapatkan rentak pada awal permainan, sekali gus tidak memberikan ruang kepada pasukan lawan.

Tempoh lima hingga 15 minit pertama, jelasnya, bakal menentukan hala tuju pasukannya yang mengalami dua kekalahan kepada Perak di peringkat kumpulan.

"Kekalahan sebelum ini sudah dilupakan dan kelebihan beraksi di tempat sendiri perlu dimanfaatkan.

"Sudah tentu gol awal dapat menambahkan keyakinan pasukan dan seterusnya mendapatkan bekalan selesa ke Ipoh," katanya.

Persiapan TFC III, begitupun, terjejas dengan kecederaan paha yang dialami penyerang tonggak, Wan Mohd Fazli Wan Ghazali, dalam sesi latihan, kelmarin.

Selain penjaring terbanyak dengan 15 gol itu, turut terlepas aksi petang esok adalah pemain tengah, Muhd Fakhrul Wahid, yang digantung perlawanan.

Mengakui ketiadaan dua pemain itu akan dirasai TFC III, Badrul Afzan tetap optimis dengan peluang pasukannya di depan penyokong sendiri.

"(Abdul) Halim Hamzah akan dipertaruhkan di jentera serangan dan saya yakin dengan kemampuannya merobek kubu lawan.

"Diharap penyokong negeri ini dapat memberi sokongan padu kepada kami selain menggerunkan pasukan Perak," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)