Naib juara musim lalu, T-Team, terpaksa akur berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur dalam saingan Kumpulan B, Piala Presiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.

Kuala Lumpur terlebih dahulu menguji barisan pertahanan T-Team seawal minit pertama yang menyaksikan percubaan Faiz Hanif Adnan tinggi melepasi pintu gol tuan rumah.

Empat minit kemudian, giliran T-Team melakukan asakan tetapi sepakan leret Mohd Zuasyraf Zulkiefle tepat ke arah penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil.

Peluang terbaik The Young Titans hadir pada minit ke-11, malangnya rembatan kencang Mohd Khairul Rizam Che Soh sekadar menggegar palang gol Kuala Lumpur.

T-Team terus buntu memecahkan kebuntuan selepas sepakan percuma Mohd Aqil Irfanuddin (m-14) gagal menemui sasaran.

Pemain sayap, Mohd Amirul Shafik Che Soh, hampir menggembirakan kem tuan rumah pada minit ke-21, namun rembatan leretnya di dalam kotak penalti lawan tersasar.

Asakan bertali arus skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan itu dalam babak kedua nyaris membuahkan hasil, begitupun dikecewakan ketumpulan penyudah.

Meskipun sekadar meraih satu mata, Tengku Hazman tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukannya menjelang aksi pusingan kedua liga bertemu lawan sama, minggu depan.

“Sudah dijangkakan pasukan lawan beraksi dengan corak bertahan sejak awal permainan dan situasi itu menyukarkan kami mencari gol kemenangan.

“T-Team akan memgharungi enam perlawanan sepanjang bulan Mei dan sekiranya pemain-pemain mengekalkan disiplin dan komitmen yang sama, kami boleh mengekalkan kedudukan ini,” ujar Tengku Hazman.