Naib juara musim lalu, T-Team, meraih kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan B, Piala Presiden selepas menewaskan Sabah 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, petang tadi.

Tuan rumah menguji kubu pelawat seawal minit keenam, namun tolakan Muhammad Naqib Najwan hasil hantaran pendek Mohd Amirul Shafik Che Soh sekadar tersasar.

Peluang terbaik Sabah hadir pada minit ke-13 selepas Yuseddy Yusiman melepasi kawalan pertahanan T-Team sebelum sepakan kencangnya ditepis penjaga gol tuan rumah, Nik Mohd Amin Ahmad.

T-Team memperoleh gol pendahuluan menerusi Muhd Nurshakir Yacub (minit ke-28) yang dengan tenang menghukum kegagalan pertahanan Sabah mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Lima minit sebelum tamat separuh masa, T-Team menggandakan jaringan hasil gerakan solo Mohd Amirul Shafik dengan membuat sepakan leret menewaskan penjaga gol lawan, Masran Masri.

Bersambung babak kedua, Sabah cuba bangkit mencari gol pertama tetapi dua percubaan Mohd Azmizan Ruslih dan Masmilan Anil Matlan digagalkan Nik Mohd Amin.

Jaringan ketiga T-Team menyusul pada minit ke-57 selepas Azizan Ikhwan Abd Aziz yang menerima hantaran pendek daripada sepakan percuma Muhammad Naqib, mudah menewaskan Masran dari jarak dekat.

Skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan itu terus bernafsu menambah jaringan, namun rembatan Muhd Zuasyraf Zulkiefle dan Muhammad Syahmi Aiman gagal menemui sasaran.

Mohd Amirul Shafik menjaringkan gol kedua peribadi dan keempat pasukannya selepas membuat rembatan padu dari sebelah kiri pada minit ke-82 dan kedudukan 4-0 kekal hingga wisel penamat.

T-Team kini mengumpul lapan mata daripada empat perlawanan dan akan bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di gelanggang lawan, 6 April ini.