Pengurus skuad Piala Presiden Sabah, Datuk Juil Nuatim berharap pasukan itu akan mampu mencatat kemenangan pertama mereka apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan, di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang ini.

Selepas dua keputusan seri dalam saingan kumpula B, sebelum ini, pastinya skuad kendalian Justin Ganai itu mahu mencatat kemenangan, petang ini, lebih-lebih lagi mereka beraksi di gelanggang sendiri.

"Para pemain perlu bermain lebih baik daripada sebelum ini sekiranya mahu mencatat kemenangan dan saya harap semangat juang mereka tinggi apabila berdepan Negeri Sembilan, petang ini," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Juil berkata, untuk membenam Negeri Sembilan bukanlah satu tugas mudah kerana pasukan itu adalah satu-satunya pasukan yang mencatat dua kemenangan dalam saingan kumpulan B, ketika ini.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu para pemain terlalu risau bertemu dengan lawan berkebaan kerana apa yang penting ialah mereka menunjukkan aksi terbaik kerana jika mereka mampu melakukan itu, kita akan nampak keputusan yang menggembirakan pada akhir perlawanan," katanya.

Sementara itu, Justin ketika dihubungi, berkata beliau tidak akan melakukan perubahan besar terhadap kesebelasan utamanya sebelum ini.

"Jika saya mahu membuat perubahan, ianya hanya sedikit. Saya mungkin mempertimbangkan untuk menyenaraikan O'neil (Shanahan M Bungkilan) bagi menggantikan Stanley (Sulong)...kita akan putuskan nanti," katanya.

Jurulatih berpengalaman itu dijangka mengekalkan Masran Masri sebagai benteng terakhir mereka di pintu gol manakala Muhd Zakri, Rabilson Batuil, Dexy Mildy Juanis dan Masmillan Anil Matlan akan menjaga kubu pertahanan.

Dalam pada itu, Eddey Ladius dan David Ansarui dijangka menjadi penggerak di bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azmizan Ruslih di sayap kanan serta O'Neil di sayap kiri.

Justin juga dijangka sekali lagi memberi sandaran kepada Hamran Peter dan Fazriel Hanafi bagi memburu gol untuk pasukannya.