PERAK 1 PKNS FC 0
(PKNS menang menerusi agregat 2-1)

Aksi permainan keras di Ipoh dalam perlawanan kedua final Piala Presiden berakhir dengan kemenangan 1-0 milik Perak tetapi tidak cukup untuk menghalang PKNS FC muncul juara menerusi agregat 2-1, sebentar tadi.


Sepakan penalti penyerang utama, Yusoff Abdullah, dalam babak kedua membolehkan Perak meraih gol tunggal perlawanan tatkala aksi cemerlang Arif Izwan Manaf memastikan gawang yang dikawal hanya dibolosi sekali.

PKNS, yang memiliki kelebihan dua gol dalam aksi pertama, jelas tidak menunjukkan isyarat puas hati tatkala anak buah Shaifulnizam Khamis itu menguji pintu gol tuan rumah seawal minit keempat menerusi rembatan jarak jauh Alifh Rosman.

Biarpun Perak bimbingan K. Nanthakumar itu dilihat lebih menguasai permainan di Ipoh, PKNS sekali lagi melakukan percubaan, kali ini dari dalam petak penalti tetapi Syakir Danial Ma’amal tetap kebal mengawal gawang.

Sepakan percuma Khairul Amizan Suhaimi selepas rehat yang melencong hampir menggamatkan penonton tuan rumah di Stadium Perak tetapi rembatan kaki kiri pemain sayap itu sedikit tersasar.

Namun, kekebalan gawang pelawat yang dikawal Arif Izwan akhirnya bocor pada minit ke-67 selepas Perak dianugerahkan sepakan penalti.

Tindakan bek kanan, Wan Zulhairil Wan Husin, menjatuhkan Muhammad Adib Raop ketika pemain pertahanan itu cuba melakukan rembatan membuatkan pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberi isyarat sepakan penalti dan pemain yang menyumbat 15 gol ketika saingan peringkat kumpulan dan tiga gol di peringkat kalah mati, Yusoff, tenang menyempurnakan peluang.

Tambahan waktu lima minit menyaksikan anak buah Nanthakumar terus memburu jaringan kedua untuk mengheret aksi ke masa tambahan, namun benteng PKNS kebal bertahan untuk memastikan kejuaraan Piala Presiden menjadi milik mereka.

Kredit foto: Facebook FAM