Walaupun perlawanan ditangguhkan akibat hujan lebat di Stadium Mini Chemor semalam, PKNP FC turun dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan 4-1 ke atas ATM FA dalam saingan Piala Presiden, pagi ini.

Menurut jurulatih PKNP, A. Pugelenthi, pemainnya menunjukkan peningkatan dan tidak tergugat dengan situasi perlawanan ditunda.

"Mereka (pemain) ikut arahan. Elok sahaja sepak mula semalam, hujan mula turun dan semakin lebat hingga padang tidak sempurna. Minit ke 39, perlawanan ditunda ke esok harinya (pagi ini). Ketika itu kami mendahului 3-0.

"Kemenangan ini juga sebagai bekalan kepada anak muda saya untuk lebih yakin dalam perlawanan akan datang. Liga pun masih muda lagi," ujarnya lagi.

Sementara itu, pengurus ATM, Cameron Leon Ng, mengakui pasukannya tidak berapa bersedia bermain dalam keadaan padang becak.

"Hari ini baru kami dapat beri saingan. PKNP pula bijak mengambil peluang. Kami akan memperbaiki situasi ini," katanya.

PKNP seterusnya akan bertemu Kuala Lumpur, 9 Mac ini.