Jurulatih Perak, K. Nanthakumar, yakin satu gol berharga di tempat lawan sudah menjadi modal terbaik untuk ke final meskipun tumpas kepada Terengganu FC (TFC) III, semalam.

Menurutnya, kekalahan 1-2 dalam separuh akhir pertama itu juga belum menutup peluang Perak untuk mengubah defisit agregat menjelang aksi timbal balik di Ipoh.

Justeru, Nathakumar meletakkan keyakinan kepada barisan pemain muda The Bos Gaurus berjuang habis-habisan untuk mengecewakan juara bertahan Piala Presiden itu.

Dalam pertemuan di Kuala Terengganu, petang semalam, Abdul Razak Mastor muncul penjaring gol penting Perak selepas membuka tirai jaringan pada minit ke-50.

TFC III kemudian bangkit menerusi tandukan kemas Syafiq Danial Romzi pada minit ke-69 sebelum Afif Sufyan Azma (m-76) memberikan kelebihan tipis buat Sang Penyu.

"Saya lihat benteng Perak kurang berkesan ketika mencabar bola tinggi dan itu yang perlu diperbaiki.

"Masih ada 90 minit lagi. Kami belum kibar bendera putih," jelas Nanthakumar.

Untuk rekod, Perak dua kali mengatasi TFC III di peringkat kumpulan yang menyaksikan kemenangan 1-0 di tempat lawan serta 2-0 di Ipoh, Jun lalu.

Separuh akhir kedua akan berlangsung di Ipoh petang Ahad ini manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) III akan melayani kunjungan PKNS FC di Pasir Gudang.