TFC III 1 KUALA LUMPUR 1

Pendahulu Kumpulan B, Terengganu FC (TFC) III, gagal meneruskan momentum kemenangan selepas seri 1-1 dengan Kuala Lumpur dalam aksi Piala Presiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.


Beraksi tanpa beberapa tonggak, TFC III gagal merencana serangan sehingga Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali meletakkan tuan rumah satu gol di depan melalui sepakan percuma menarik pada minit ke-21.

Jaringan itu menaikkan semangat kem TFC III untuk menggandakan asakan daripada pemain sayap, Mohamad Raimi Syahir dan Mohammad Rahmat Makasuf, namun gagal menemui sasaran.

Pelawat memperkemaskan rentak dengan Muhammad Alif Aiman cuba menghidupkan jentera tengah dengan menyaksikan gerakan pada minit ke-33 berjaya dipatahkan kapten TFC III, Mohammad Samsul Ikram Daud.

Pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pemain TFC III, Aizat Hanapi, dan disudahkan Nabil Hakim Bokhari, sekali gus menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-51.

TFC III kemudian memiliki peluang terbaik untuk kembali mendahului, malangnya tandukan Wan Mohamad Fazli pada minit ke-60 hasil hantaran Mohamad Raimi melencong ke sebelah tepi.

Skuad kendalian Badrul Hafzan Razali itu terus berputih mata dengan percubaan lemah Muhammad Nur Isyraf Razali di kawasan berbahaya (m-80) tepat ke dakapan Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi sebelum sepakan penalti Mohd Zulkhairi Mohd (m-85) tersasar.

Tiada tambahan jaringan dengan TFC III kekal di tangga teratas dengan 34 mata daripada 15 perlawanan manakala KL berada di kedudukan ke-10 selepas meraih satu mata berharga di tempat lawan.