Terengganu FC (TFC) III terpaksa akur sekadar mengutip satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan dalam aksi Piala Presiden, petang semalam.

Menurut jurulatih TFC III, Badrul Hafzan Razali, ketumpulan jentera serangan skuad bimbingannya memisahkan mereka dengan kemenangan ketiga berturut-turut musim ini.

Meskipun gembira dengan corak keseluruhan pasukannya, Badrul menegaskan TFC III tidak boleh terus melepaskan peluang untuk meraih mata penuh, terutama di gelanggang sendiri.

“Kami menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan dan saya berpuas hati dengan 90 minit ini. Namun, masalah utama ialah ketumpulan penyudah.

“Pemain-pemain harus kekal konsisten sekiranya berhajat mencipta kejayaan musim ini,” ujarnya.

Sementara itu, penolong jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Kuizwan Mohd Johari, menyifatkan satu mata dikutip cukup bermakna sambil memuji disiplin pemain muda skuad Hoben Jang Hoben itu.

Sambil mengakui masih dalam proses mendapatkan rentak terbaik, Kuizwan menyifatkan itu adalah cabaran buat barisan kejurulatihan mencari ramuan terbaik mematangkan pemain skuad itu.

“Pemain-pemain mengikut segala taktikal yang diberikan dan ini adalah persembahan terbaik Negeri Sembilan dalam tiga perlawanan,” katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, penjaga gol pelawat, Muhamad Hamka Daud, muncul wira apabila menyelamatkan tiga peluang terbaik tuan rumah dalam babak pertama.

Bersambung babak kedua, TFC III menggandakan asakan diketuai Muhammad Izzan Syahmi yang menyaksikan rembatan leretnya pada minit ke-54 sekadar sipi ke sebelah tepi.

Pemain tengah tuan rumah, Amirul Syazwan Nor Azmi, turut terlepas peluang dengan sepakan kaki kiri yang dibaca dengan baik oleh Muhamad Hamka (m-67).

Serangan bertali arus tuan rumah hampir membuahkan hasil pada minit ke-74 menerusi percubaan Engku Muhamad Nur Shakir dan Muhammad Aqil Irfanuddin (m-76) namun terus cemerlang dinafikan penjaga gol Negeri Sembilan itu.

Satu mata yang diraih memadai buat TFC III memimpin Kumpulan B dengan tujuh mata di samping memiliki kelebihan satu perlawanan manakala Negeri Sembilan di tangga kelapan, hanya mengumpul dua mata.