Kelantan memulakan pusingan kedua Kumpulan A, Piala Presiden dengan satu mata apabila seri 1-1 dengan juara bertahan, Selangor, di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Turun dengan misi untuk terus mengecewakan Selangor selepas menang 3-1 dalam pusingan pertama, The President Warriors (TPW) bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal pelawat pada minit kelima.

Kedua-dua pasukan saling menyerang dan TPW melalui ketua pasukan, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-35, namun rembatannya tersasar.

Dalam babak kedua, Wan Mohamad Ridhwan Wan Deraman, melegakan penyokong tuan rumah apabila membolosi gawang Selangor pada minit ke-64 untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan

Penolong Pengurus TPW, Wan Badri Wan Omar, jelas gembira dengan kebangkitan lewat anak buahnya sambil menyifatkan ketiadaan enam tonggak yang dipanggil menyertai skuad utama Kelantan sedikit-sebanyak menjejaskan corak permainan mereka.

"Alhamdulillah, pujian kepada semua pemain yang beraksi cemerlang bangkit mencari gol penyamaan untuk berkongsi mata dengan juara bertahan, Selangor.

"Biarpun tanpa enam pemain tonggak, kami masih mampu memberikan cabaran yang kuat kepada skuad Merah Kuning dan keputusan ini adil kepada kedua-dua pasukan.

"Lupakan keputusan seri ini sebab kami ada dua perlawanan yang cukup mencabar, iaitu bertemu Johor Darul Ta’zim III (JDT III) dan Kedah di gelanggang lawan,” katanya.