KELANTAN 2 PERLIS 1

Hajat Kelantan untuk memungut mata penuh tercapai apabila menumpaskan Perlis 2-1 dalam saingan Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.


Kelantan memulakan serangan dan berjaya menjaringkan gol pertama menerusi rembatan kencang Mohammad Aniq Aramin Ismail pada minit pertama permainan.

Tersentak dengan jaringan awal, Perlis mula menyusun gerakan dan berjaya mendapatkan jaringan penyamaan melalui sepakan deras penyerang, Mohammad Alief Najmi Mohd Radzi, yang menewaskan penjaga gawang The President Warriors (TPW), Mohd Syafiq Zulkifli, pada minit keenam.

Pada minit ke-75, hantaran satu dua di dalam kotak penalti berjaya disudahkan penyerang muda sensasi, Afiq Saluddin, untuk tuan rumah mendahului 2-1.

Penjaga gol Kelantan, Mohd Syafik, bertindak cemerlang apabila dua kali menampan sepakan deras penyerang Perlis, Muhammad Noor Arif Mistar, pada minit ke-85.

Perlis terus menggandakan serangan mencari gol penyamaan tetapi benteng TPW yang diketuai Muhamad Shaiful Alias kental bertahan.

Kemenangan tipis ini membolehkan Kelantan mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat pasukan terbaik Kumpulan A dengan 29 mata hasil lapan menang dan lima kali seri.