Kelantan mahu memulakan aksi pusingan kedua Kumpulan A Piala Presiden dengan langkah kanan apabila melayan kunjungan juara bertahan, Selangor, di Stadium Sultan Muhammad IV, petang esok.

Selepas membelasah Melaka United 5-1 minggu lalu, The President Warriors (TPW) melaungkan keyakinan untuk terus mengejar pendahulu liga, Sabah, biarpun tanpa enam tonggak utama yang dipanggil menyertai skuad Liga Super Kelantan.

Ketua jurulatih TPW, Zahasmi Ismail, yakin anak buahnya terus dahagakan kemenangan kerana sedar saingan merebut kelompok empat terbaik masih terbuka luas.

"Kelantan perlu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk menumpaskan Selangor bagi merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Sabah.

"Biarpun menang 3-1 ke atas Selangor dalam pusingan pertama, kami perlu berhati-hati kerana skuad Merah Kuning cukup liat untuk dikalahkan.

“Jurang perbezaan mata antara lima kelompok teratas liga juga tidak jauh dan semua masih berpeluang ke peringkat seterusnya,” katanya.

Ditanya barisan yang bakal diturunkan, Zahasmi tidak menolak mengekalkan pemain sama ketika membelasah Melaka United 5-1 di Kota Bharu, minggu lalu.

“Kali ini kami kehilangan penjaga gol utama, Mohammad Fikri (Che Soh) dan lima lagi pemain muda yang dipanggil menyertai skuad Liga Super Kelantan.

“Namun, kami masih ada Mohd Danial Asyraf (Abdullah) yang akan memimpin pasukan bagi mencapai misi layak ke peringkat suku akhir sebagai empat pasukan terbaik kumpulan A," katanya.

Untuk rekod, Kelantan berada di tangga kelima dengan 18 mata hasil lima kemenangan dan tiga seri manakala Selangor di tempat kelapan dengan 10 mata.