Jaringan melalui sepakan percuma Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni menyelamatkan Kelantan daripada kekalahan apabila terikat 1-1 dengan pendahulu liga, Kedah, dalam Kumpulan A, Piala Presiden di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, petang semalam.

Sebelum itu, The President Warriors (TPW) ketinggalan apabila penyerang tengah Kedah, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Syafiq Zulkifli, pada minit ke-42.

Tersentak dengan jaringan tuan rumah, TPW cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun benteng tuan rumah yang diketuai kapten, Mohd Loqman Hakim Marzuki, kental bertahan.

Dalam babak kedua, sepakan percuma menarik daripada Mohamad Shahrul Nizam berjaya menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd Syazwan, pada minit ke-53.

Pada minit ke-78, melalui satu serangan balas, tuan rumah hampir menambah jaringan, namun sepakan deras penyerang gantian, Akmal Azmi, berjaya dihalang penjaga gol TPW, Mohd Syafiq.

Ketua jurulatih TPW, Zahasmi Ismail, bersyukur dengan satu mata yang dikutip di Alor Setar dan berjanji akan membaiki jentera serangan Kelantan menjelang pertemuan menentang Pahang di gelanggang sendiri, Khamis ini.

“Pujian kepada semua pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi. Biarpun ketinggalan dalam separuh masa pertama, namun mereka bangkit mencari gol penyamaan untuk berkongsi mata.

“Semangat positif ini yang kami perlukan dan saya akan beri tumpuan untuk menajamkan jentera serangan menjelang pertemuan menentang Pahang nanti,” katanya.

Untuk rekod, keputusan seri ini meletakkan TPW di tangga kelima carta liga dengan 20 mata hasil lima kemenangan dan lima seri manakala Kedah terus gagah di puncak liga dengan 31 mata.