MONTPELLIER 2 PSG 2
(PSG mara menerusi penentuan sepakan penalti 6-5)

Kylian Mbappe menjernihkan ulasannya yang menganggap prestasi tidak tekal menjadi penyebab utama Paris Saint-Germain (PSG) untuk menyerahkan takhta Ligue 1 kepada Lille.


Pemain antarabangsa Perancis itu meledak dua gol -- sebaik kembali daripada kecederaan -- ketika bertemu Montpellier dalam separuh akhir PSG Coupe de France, awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Mauricio Pochettino itu mara menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas terikat 2-2.

PSG, yang menjuarai Trophee des Champions awal musim ini, sudah pasti mahu memastikan satu lagi trofi tidak terlepas daripada genggaman.

Lille kini tiga mata di puncak dengan baki hanya dua perlawanan, ini bermakna empat mata hasil daripada pertemuan dengan Saint-Etienne dan Angers akan menjamin kejuaraan mereka.

Bagaimanapun, ketika bercakap selepas bertemu Montpellier, Mbappe menganggap prestasi luar biasa tidak akan memadai buat Lille sekiranya PSG lebih tekal dalam soal persembahan.

"Sekiranya kami gagal meraih gelaran, ia disebabkan kami sendiri yang melepaskannya, bukan kerana lawan yang memenangi," katanya kepada Eurosport 2.





Mbappe kemudian memperincikan ulasannya itu di Instagram dengan menjelaskan bahawa Lille sememangnya layak bergelar juara dan PSG perlu menyalahkan diri sendiri.

Dia menulis: "#Respect. Lille adalah jaguh yang hebat andai mereka dinobatkan juara tetapi dengan lapan kekalahan, ia punca utama kami kehilangan gelaran ini, kami satu-satunya pihak yang perlu bertanggungjawab."

PSG akan menghadapi Reims pada awal pagi Isnin ini untuk menentukan apakah mereka masih mampu mencabar Lille hingga hari terakhir perlawanan.

Sementara itu, Rumilly Vallieres dan Monaco pula akan merebut satu lagi slot final Piala Perancis itu, awal pagi esok.