MALI 0 IVORY COAST 1

Ivory Coast melangkah ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika awal pagi tadi selepas Wilfried Zaha muncul wira ketika mengatasi Mali 1-0.


Pemain sayap Crystal Palace itu, yang dilaporkan menjadi sasaran Arsenal, meledak gol ketika perlawanan berbaki 14 minit selepas terpaksa berdepan tekanan lawan dalam separuh masa pertama.

Juara dua kali, Ivory Coast, bakal berdepan Algeria dalam pertembungan lapan pasukan terakhir selepas mereka meraih kemenangan 3-0 ke atas Guinea di Kaherah, Ahad lalu.

Rembatan deras Hamari Traore gagal menepati sasaran selepas Moussa Marega membuka laluan kepada pemain tersebut ketika Mali memulakan saingan dengan lebih rancak berbanding Ivory Coast.

Sepakan percuma Abdoulaye Diaby sekali lagi hampir memecah kebuntuan manakala Marega terlepas deretan dua peluang sebelum tamat separuh masa pertama.

Ivory Coast memperbaiki permainan mereka dalam separuh masa kedua, bermula dengan percubaan Jonathan Kodjia pada minit ke-67, namun gagal disempurnakan.

Zaha memastikan pasukannya mendahului permainan sembilan minit kemudian apabila berjaya mengawal kemas hantaran Diarra untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Mali, yang kini tanpa sebarang kemenangan dalam lima pertemuan dengan Ivory Coast, berusaha hingga penghujung permainan bagi mencari jaringan penyamaan tetapi penjaga gol, Sylvain Gbohouo, menafikan percubaan daripada Kalifa Coulibaly.