GHANA 1 TUNISIA 1
(Tunisia menang penentuan penalti 5-4)

Tunisia merekodkan satu lagi kejutan dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika dengan menewaskan Ghana 5-4 menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 untuk melangkah ke suku akhir.


Skuad kendalian Alain Giresse itu seri dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dan kelihatan bakal merakamkan kemenangan pertama hasil jaringan Taha Khenissi dalam separuh masa kedua,.

Namun, jaringan sendiri pemain gantian, Rami Bedoui, memberikan talian hayat buat Ghana selepas perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Percaturan Tunisia menggantikan penjaga gol, Mouez Hassen, dengan Farouk Ben Mustapha bagi penentuan penalti berhasil apabila dia menafikan percubaan Caleb Ekuban, yang membenarkan Ferjani Sassi melengkapkan kemenangan untuk melangkah ke suku akhir berdepan Madagascar.

Tandukkan Kasim Adams sekadar menggegar palang gol dan Andre Ayew tidak berupaya untuk menyudahkan bola muntah ketika Ghana rancak menyerang di Stadium Ismailia, awal pagi tadi.

Ghana menyumbat masuk gol sebelum tamat separuh masa pertama, dengan Ayew melakukan kuisan, namun jaringan itu dibatalkan kerana Thomas Partey berada di kedudukan ofsaid.

Bintang Tunisia, Wahbi Khazri, yang belum sempat cergas bagi mengisi kesebelasan utama, hadir sebagai pemain gantian.

Kehadiran Khazri seakan-akan memberi nafas baru kepada Tunisia di bahagian serangan apabila terlibat dalam usaha Tunisia membuka jaringan pada minit ke-73.

Jolokan tumit Khazri membuka ruang buat Wajdi Kechrida untuk melakukan lorongan buat Khenissi yang meledak gol pembukaan Tunisia.

Ketika mereka di ambang kemenangan, Bedoiu melakukan kesilapan tertanduk bola masuk ke gawang sendiri.

Jordan Ayew terlepas peluang terbaik dalam masa tambahan dan Tunisia, yang belum menewaskan Ghana dalam tujuh perlawanan terakhir dalam saingan AFCON, berjaya melakar kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti.