MAURITANIA 0 TUNISIA 0

Tunisia memastikan kemaraan ke pusingan 16 Piala Negara-Negara Afrika apabila mengikat Mauritania 0-0 di Stadium Suez, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Alain Giresse itu memperoleh tiga keputusan seri daripada tiga perlawanan Kumpulan E untuk muncul pasukan kedua terbaik di belakang Mali, yang menewaskan Angola 1-0 dalam perlawanan berasingan.

Mauritania turun beraksi dengan rekod satu percubaan tepat daripada dua perlawanan terdahulu, namun mereka dilihat pasukan yang lebih baik berbanding Tunisia dalam babak pertama.

Mouez Hassen, yang dipersalahkan ketika Tunisia diikat Mali 1-1, Jumaat lalu, terus memaparkan aksi goyah ketika menolak keluar percubaan Ismael Diakite pada awal perlawanan.

Mauritania kemudian kehilangan ketua pasukan, Abdoul Ba, gara-gara kecederaan pada minit ke-17, namun kekal memberikan saingan dengan percubaan jarak dekat Moctar Sidi El Hacen tersasar jauh.

Mouez menafikan percubaan Bessam untuk menyaksikan kekuatan Diakite diatasi Youssef Msakni yang kemudian memaksa Brahim Souleymane di gawang berlawanan menyelamatkan percubaan Tunisia yang jarang-jarang berlaku.

Kemasukan Taha Khenissi bagi menggantikan Bassem Srarfi pada waktu rehat memberikan peningkatan ketara buat skuad kendalian Giresse itu.

Youssef bertukar-tukar hantaran dengan Wahbi Khazri, namun percubaannya terlalu menghampiri Brahim, yang menangkap kemas tandukan kapten Tunisia itu, untuk menamatkan perlawanan tanpa sebarang jaringan.

The Eagles akan bertemu Ghana dalam perlawanan berikutnya di Chartage selepas pasukan itu menewaskan Guinea-Bissau 2-0 dalam perlawanan terdahulu untuk menjuarai Kumpulan F.