UGANDA 0 MESIR 2

Mohamed Salah menjaringkan gol kedua peribadi dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika selepas mengatasi Uganda 2-0 dan mengutip mata maksimum daripada tiga perlawanan Kumpulan A tatkala kedua-dua pasukan mara ke pusingan 16.


Bintang Liverpool, Salah, menyumbat jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-36 selepas Mesir mempamerkan permulaan memberangsangkan dan pertahanan Aston Villa, Ahmed El Mohamady, menggandakan kelebihan The Pharaohs di penghujung babak pertama.

Keptuusan itu membolehkan juara Kumpulan A, Mesir, mengalihkan perhatian mengenai Amr Warda yang kembali menyertai skuad kendalian Javier Aguirre itu selepas Persatuan Bolasepak Mesir mengubah keputusan daripada menyingkirkannya keluar daripada skuad akibat gangguan seksual.

Kemenangan Congo ke atas Zimbabwe bermakna Uganda meneruskan kemaraan buat kali pertama dalam tempoh 41 tahun selepas menduduki tangga kedua tatkala mereka menamatkan kempen edisi 1978 selaku naib juara.

Farouk Miya mencipta percubaan awal buat Uganda, dengan dua kali menguji Mohamed El-Shenawy dari sudut sukar dan Allan Kyambadde hampir meledak jaringan walaupun anak buah Sebastien Desabre itu memulakan saingan di Kaherah selaku bukan pilihan.

Namun, usaha positif Uganda dipatahkan oleh sepakan percuma lencong Salah dari jarak 25 ela yang melepasi benteng dan menewaskan Denis Onyango walaupun penjaga gol itu sempat menguis bola.

Misi mencipta kejutan semakin sukar buat Uganda selepas hantaran lintang Ayman Ashraf dari sebelah kiri melepasi Salah tetapi menemui El Mohamady yang tenang menyudahkan peluang di depan gol.

Salah seharusnya menjadikan kedudukan 3-0 dalam babak kedua apabila dia melalui situasi satu lawan satu dengan Onyango tetapi penjaga gol itu sempat menafikan bola lambungan bekas tonggak Roma itu dan Miya sekadar melihat percubaannya dari jarak 12 ela melepasi palang.

Onyango terpaksa diusung keluar ketika permainan berbaki 20 minit selepas mengalami kecederaan dan membuatkan Desabre berharap dia sempat sembuh sebelum aksi pusingan 16 dan Emmanuel Okwi gagal menggunakan kesempatan pada minit akhir buat The Cranes setelah sekadar melepaskan percubaan liar dari dalam petak penalti.