Mohamed Salah bakal memikul harapan pasukan tuan rumah, Mesir, dalam aksi pembukaan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang Zimbabwe di Kaherah, awal pagi esok.

The Pharaohs dan pemain terbaik benua itu sedang meletakkan sasaran muncul juara Afrika buat kali kelapan selepas gagal melakukannya pada 2017 apabila tewas kepada Cameroon.

Juara bertahan itu merupakan tuan rumah kejohanan sebelum pihak penganjur mengambil keputusan untuk bertukar venue atas dasar keselamatan dan persiapan, dan rekod Mesir di pentas AFCON merupakan sesuatu yang menakjubkan.

Dalam tiga daripada empat edisi -- 1959, 1986 dan 2006 –- mereka muncul pemenang dan mengakhirinya di tempat ketiga pada 1974.

Memiliki pemain bertaraf bintang seperti Salah kini melonjakkan lagi harapan Mesir untuk muncul juara bagi edisi kali ini.

"Di Mesir, bola sepak hampir sama dengan pegangan agama," kata bekas ketua jurulatih Mexico, Javier Aguirre.

"Ia merupakan satu perkara yang gila. Mohamed Salah seperti… anda masih ingat ketika David Beckham bersama Real Madrid? Saya berada di sana ketika itu (membimbing Madrid) dan ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dibayangkan.

"Banyak pengawal keselamatan. Dia tidak mampu untuk berada di jalanan. Dengan Salah, amat sukar sekali. Hari ini, di negara Muslim, di negara Afrika, dia adalah yang terbaik. Sesuatu yang tidak disangkal lagi. Bagi penyokong, dia sama seperti Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo," katanya.

Pengendali Zimbabwe, Sunday Chidzambwa, percaya Mesir adalah pilihan kejohanan dan mahu bersifat realistik mengenai harapan pasukannya beraksi di Stadium Antarabangsa Kaherah.

"Kami menyedari kekuatan Mesir, terutama ketika mereka beraksi di laman sendiri," katanya.

"Kini kami beraksi di peringkat kumpulan AFCON, kami akan berusaha untuk mendapatkan keputusan yang positif."