UGANDA 1 ZIMBABWE 1

Kegagalan Knowledge Musona menyempurnakan peluang terhidang yang dilabel antara yang terburuk dalam sejarah Piala Negara-Negara Afrika menyebabkan Zimbabwe terpaksa menangguhkan hasrat ke pusingan kalah mati apabila terikat 1-1 dengan Uganda, awal pagi tadi.


Skuad Sunday Chidzambwa itu memberikan saingan seimbang dalam aksi Kumpulan A di Kaherah itu selepas Khama Billiat memadam jaringan pembukaan Emmanuel Okwi.

Begitupun, Zimbabwe, yang tersungkur 0-1 kepada tuan rumah, Mesir, dalam perlawanan pembukaan minggu lalu, terlepas peluang terbesar untuk meraih kemenangan pertama berikutan kegagalan ketua pasukan, Musona, menolak masuk bola dari jarak empat ela.

Uganda bertahan untuk keputusan seri selepas memungut tiga mata ketika menentang Congo -- kemenangan pertama mereka dalam kejohanan ini dalam tempoh 41 tahun.

Uganda memenangi dua daripada 15 pertemuan dengan Zimbabwe dan mereka mengambil masa 12 minit untuk mendahului perlawanan selepas rembatan Lumala Abdu ditepis penjaga gol simpanan, George Chigova, sebelum Okwi menyambar bola muntah tersebut.

Jaringan itu mencetuskan kebangkitan barisan kendalian Chidzambwa itu yang menyaksikan Musona melepaskan rembatan dari jarak lapan ela yang melewati palang sementara percubaan Billiat meliar.

Billiat, bagaimanapun, menebus kesilapan awalnya ketika babak pertama bersisa lima minit apabila melengkapkan gerakan menarik pasukannya untuk menyambut hantaran silang Ovidy Karuru lalu menewaskan penjaga gawang, Denis Onyango.

Musona kemudian melepaskan peluang keemasan sejurus enam minit permainan bersambung -- penyerang Anderlecht itu memilih menghalakan tendangannya ke arah palang meskipun pintu gol sudah ternganga ketika bola singgah di kakinya.

Kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri berikutan Onyango tangkas mengawal gawangnya ketika menepis percubaan Billiat manakala rakan sepasukan, Patrick Kaddu, mensia-siakan satu lagi peluang pada penghujung perlawanan.