Kapten Republik Demokratik Congo, Youssouf Mulumbu, meletakkan sasaran untuk melangkah ke final saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

The Leopards cemerlang sewaktu beraksi pada edisi 2017 di Gabon apabila mendahului kumpulan yang dibarisi pasukan seperti Togo, Maghribi dan Ivory Coast.

Bagaimanapun, cabaran mereka terhenti dalam pusingan kalah mati pertama selepas tewas kepada Ghana.

Walaupun mereka sekadar tewas sekali dalam pusingan kelayakan AFCON kali ini, Congo berjaya lolos ke saingan utama apabila menamatkan saingan di tempat kedua dengan memenangi satu perlawanan.

Mereka turut seri dalam siri aksi persahabatan dengan Burkina Faso dan Kenya.

Tidak memikirkan status sebagai pilihan, Congo hadir ke Mesir dengan tahap keyakinan yang tinggi dan kapten pasukan, Mulumbu, optimis dengan kebolehan pasukan melangkah ke final.

"Congo memiliki rekod cemerlang dalam kejohanan terdahulu. Saya berasakan kami ada melakukan kesilapan tetapi tidak akan mengulanginya selepas ini," katanya.

"Jika kami perbaiki kekurangan sebelum ini, kami mampu ke final dan muncul juara. Saya yakin kerana banyak perkara yang berlaku dalam saingan kelayakan dan ia telah membuatkan pasukan semakin berkualiti."

Uganda menjadi halangan pertama Congo dalam aksi pembukaan Kumpulan A, dengan melakar empat kemenangan dalam enam perlawanan untuk layak ke saingan utama.

Dengan status pasukan bukan pilihan, pengendali pasukan, Sebastien Desabre, berasakan mereka perlu bermula dengan kemenangan jika mahu menghidupkan peluang untuk ke pusingan kalah mati.

"Berdepan Congo adalah perlawanan yang penting," kata Desabre.

"Perlawanan pertama ini akan menentukan nasib kami. Kami perlu mengatasi Congo supaya beraksi dengan lebih selesa.

"Untuk memenangi perlawanan, anda perlu menjaringkan gol serta mengambil risiko."