MESIR 1 ZIMBABWE 0

Mesir memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan langkah kanan selepas jaringan Mahmoud Ahmed Ibrahim Hassan atau lebih dikenali sebagai Trezeguet memastikan kemenangan 1-0 ke atas Zimbabwe.


Bintang utama AFCON, Mohamed Salah, berada dalam prestasi terbaik di Kaherah awal pagi tadi tetapi seorang lagi pemain sayap Mesir yang berjaya membuka jaringan sebelum tamat separuh masa pertama bagi aksi pembukaan Kumpulan A itu.

Ia merupakan kemenangan yang berhak diraih juara tujuh kali itu sementara penjaga gol Zimbabwe, Edmore Sibanda -- yang terpaksa meninggalkan padang ekoran kecederaan -- mempamerkan satu rentetan aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan beberapa peluang pasukan tuan rumah.

Percubaan Salah berjaya dinafikan Sibanda dalam separuh masa kedua tetapi pembaziran Mesir tidak menghukum mereka apabila memastikan mata penuh diraih dalam perlawanan itu.

Seawal minit kedua, Salah telah menghadirkan ancaman apabila melakukan hantaran silang, namun Sibanda bingkas menolak bola keluar.

Mahmoud Alaa seharusnya menjaringkan gol tetapi gagal melakukannya sementara mereka hampir dihukum apabila Khama Billiat berjaya menembusi benteng pertahanan tetapi penjaga gol, Mohamed El-Shenawy, memastikan gawang Mesir tidak dibolosi.

Mesir akhirnya membuka jaringan empat minit sebelum tamat separuh masa pertama -- gerakan Trezeguet dari sayap kiri bijak mengatasi pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan menewaskan Sibanda.

Sibanda dilihat sebagai pemain Zimbabwe yang paling menyerlah dalam perlawanan itu apabila menafikan percubaan jarak dekat Salah.

Dia bagaimanapun mengalami kecederaan ketika perlawanan berbaki 10 minit dan penggantinya, Elvis Chipezeze, memastikan tiada jaringan tambahan dihasilkan pasukan tuan rumah.