Paul Put memberi amaran kepada skuad Guinea supaya tidak memandang mudah tentangan pasukan yang membuat penampilan sulung dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Madagascar.

Guinea gagal untuk layak dalam edisi 2017 tetapi melangkah ke suku akhir pada 2015.

Madagascar merupakan halangan pertama Guinea dalam aksi pembukaan Kumpulan B selepas mereka turut diundi bersama Burundi dan Nigeria.

Put, yang mengesahkan pemain tengah Liverpool dan kapten Guinea, Naby Keita, cergas untuk beraksi di Iskandariah, bimbang dengan ancaman Madagascar.

"Perlawanan pertama adalah penting kerana ia akan memberikan keyakinan untuk meneruskan saingan dalam kejohanan ini," kata Put.

"Tetapi kami harus berwaspada berdepan pasukan seperti Madagascar kerana mereka mahu membuktikan kebolehan mereka dalam penampilan pertama untuk AFCON.

"Madagascar memiliki kualiti tersendiri dan dibarisi pemain berpengalaman.

"Kami perlu memberi tumpuan bagi mendapatkan keputusan yang positif."

Pengendali Madagascar, Nicolas Dupuis, menegaskan pasukannya mampu beraksi dengan kebebasan dalam penampilan pertama AFCON.

"Benua ini memiliki barisan pasukan yang berkualiti tetapi kami juga berada dalam kejohanan yang sama," kata Dupuis.

"Kami mahu membuktikan kebolehan kami dan menghasilkan kejutan.

"Madasgasar akan turun tanpa tekanan, kami hanya mahu menampilkan permainan terbaik."