Pertahanan Ivory Coast, Wilfried Kanon, menggesa rakan sepasukannya untuk memadamkan memori tewas di tangan Maghribi tatkala mereka memburu slot ke pusingan kalah mati Piala Negara-Negara Afrika 2019 dalam aksi berdepan Namibia esok.

Juara edisi 2015 itu tunduk 1-0 di tangan pendahulu Kumpulan D itu, sekali gus meragut peluang untuk mengesahkan slot ke pusingan kalah mati lebih awal walaupun terlebih dahulu mengatasi Afrika Selatan dengan keputusan sama dalam perlawanan pembukaan.

Situasi itu bermakna mereka kini berkongsi tiga mata dengan skuad Bafana Bafana menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan.

"Kami perlu lupakan aksi menentang Maghribi dan fokus kepada perlawanan esok," katanya.

"Kami berlatih dengan baik dan akan memberikan segala-galanya untuk menang."

Kanon dijangka akan menerima kehadiran bek kanan berbeza dalam kesebelasan utama selepas Mamadou Bagayoko menggantikan tempat Serge Aurier yang mengalami kecederaan ketika berdepan Maghribi.

Kapten The Elephants itu, yang dihantui masalah kecederaan paha di pelbagai peringkat sewaktu bersama Tottenham Hotspur, khuatir cabarannya dalam saingan kali ini telah berakhir.

"Saya rasa ia mungkin telah berakhir kerana saya rasakan sesuatu. Mungkin ada bahagian yang terkoyak," ujar Aurier.

Namibia tidak mengutip sebarang jaringan atau mata selepas mengalami kekalahan berturut-turut dan berharap menggunakan kesempatan daripada ketiadaan bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu.

"Tiada perkara yang mudah dalam kumpulan ini dan Ivory Coast tersilap jika mereka fikir perlawanan ini akan menjadi senang," kata pengendali The Brave Warriors, Ricardo Mannetti.

"Prestasi kami sentiasa meningkat dan kami perlu mengumpul kekuatan daripada aksi berdepan Maghribi dan Afrika Selatan. Kami perlu tampil kuat."