NIGERIA 1 BURUNDI 0

Kempen Piala Negara-Negara Afrika Nigeria bermula dengan kemenangan selepas mereka mengatasi Burundi 1-0, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Gernot Rohr itu bergelut dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Alexandria tetapi memastikan mata penuh diraih pada minit ke-77.

Odion Ighalo, yang hadir ke dalam perlawanan dari bangku simpanan menggantikan Paul Onuachu, menyempurnakan hantaran Ola Aina untuk mengatasi penjaga gol, Jonathan Nahimana.

Kemenangan tersebut menyaksikan Nigeria mendahului Kumpulan B selepas Guinea berkongsi mata dengan pendatang baru, Madagascar.

Aksi pertama menyaksikan Nigeria gagal mencari rentak pada permulaan saingan dan hampir ketinggalan pada minit ke-14 tetapi Daniel Akpeyi menampan keluar percubaan voli Cedric Amissi.

Samuel Chukwueze turut bertindak cemerlang buat Burundi apabila menafikan percubaaan Alex Iwobi dan John Obi Mikel.

Burundi sekali lagi memiliki peluang untuk mendahului permainan, namun tandukan Frederic Nsabiyumva gagal mengatasi Akpeyi.

Hadir sebagai pemain gantian, Ighalo membuktikan dirinya sebagai wira apabila penyerang Shanghai Shenhua itu meledak gol kemenangan buat The Super Eagles.