Algeria layak ke pusingan 16 Piala Negara-Negara Afrika hasil kemenangan 1-0 ke atas Senegal, awal pagi tadi.

Perlawanan di antara dua pasukan handalan Afrika itu menjadi tumpuan tetapi hanya gol Youcef Belaili dalam babak kedua merupakan satu-satunya detik menarik dalam aksi di Kaherah, Mesir itu.

Walaupun dengan kelibat Riyad Mahrez dan Sadio Mane di padang, pertemuan Kumpulan C itu dicemari dengan 53 kekasaran dan aksi menarik di depan gawang yang terhad.

Desert Foxes memenangi kedua-dua perlawanan mereka di bawah bimbingan Djamel Belmadi.

Penyerang Algeria, Baghdad Bounedjah, memiliki dua peluang terbaik dalam 45 minit pembukaan.

Dia terlebih dahulu cuba melemaskan penjaga gawang, Edouard Mendy, tetapi tenang dipatahkan pertahanan, Kalidou Koulibaly, sebelum penjaga gol itu sekali lagi menafikan gerakannya.

Namun, aksi berbeza dihidangkan dalam babak kedua dan Algeria memberi amaran awal menerusi percubaan Sofiane Feghouli pada minit ke-48.

Jaringan tunggal perlawanan menyusul seminit berikutnya apabila Feghouli meluru ke arah lorongan Mahrez dan menceroboh kubu lawan dari sebelah kanan sebelum Belaili menyudahkan gerakan itu dengan kaki kanannya.

Senegal sepatutnya memenangi penalti ketika Mane dikasari sambil percubaan pertama mereka yang terhasil pada minit ke-79 hampir menghasilkan gol penyamaan.

Rembatan jarak jauh Youssouf Sabaly gagal ditepis kemas Mbaye Diagne tetapi penyerang itu dikecewakan dengan penyudah liar ketika menyambar lantunan bola itu.

Senegal terus melancarkan asakan dalam usaha mencari gol penyamaan dan Bounedjah hampir tertolak bola ke gawang sendiri manakala Mane menanduk tinggi sepakan penjuru pada penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, gol tunggal itu sudah memadai untuk Algeria yang kini akan mengalih perhatian mereka ke peringkat kalah mati sementara Senegal berpeluang untuk mara apabila menentang Kenya, Selasa depan.

Sementara itu, sepakan percuma memukau Marco Ilaimaharitra menghadiahkan Madagascar kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan Piala Negara-Negara Afrika apabila mengatasi Burundi 1-0, sekali gus menghampiri pusingan kalah mati.