GHANA 2 BENIN 2

Benin memanfaatkan kad merah John Boye untuk meraih keputusan seri 2-2 ketika menentang Ghana dalam Piala Negara-Negara Afrika 2019 di Stadium Ismailia, awal pagi tadi.


Mickael Pote memberikan Benin kejutan gol pendahuluan selepas hanya 103 saat tetapi skuad kendalian Kwesi Appiah itu bangkit dengan jaringan daripada Andre dan Jordan Ayew sebelum rehat.

Boye diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua secara kontroversi pada minit ke-54 kerana jelas membuang masa, sekali gus mendorong Benin untuk memastikan kebangkitan menerusi gol berganda Pote.

Ghana akan menghadapi Cameroon dalam Kumpulan F, Sabtu ini, manakala Benin akan menentang Guinea-Bissau, awal pagi Ahad ini.

Benin memulakan permainan dengan memukau apabila mendahului ketika aksi baru berusia dua minit selepas Pote mengutip hantaran lolos Cebio Soukou lalu menggelecekkan Lumor Agbenyenu sebelum melepaskan tendangan yang melewati Richard Ofori.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka itu tidak bertahan lama apabila rembatan kencang Andre Ayew di bahagian penjuru kiri pintu gol yang dikawal Fabien Farnolle untuk menyamakan kedudukan pada minit kesembilan.

Walaupun Benin kelihatan lebih mengancam di jentera serangan, Ghana sekali lagi menemui sentuhan penyudah sebelum rehat.

Kasim Adams mendapati Jordan Ayew memiliki ruang dan penyerang itu melancarkan satu rembatan deras kaki kanan untuk menewaskan Farnolle pada minit ke-42.

Namun, harapan Ghana untuk meneruskan rentak tersentak sejurus sembilan minit permainan bersambung berikutan layangan kad kuning kedua ke atas Boye selepas pengadil, Youssef Essrayri, mendapati dia sengaja melengah-lengahkan masa sebelum menyerahkan sepakan percuma itu kepada penjaga golnya.

Benin memanfaatkan sepenuhnya kelebihan pemain yang dimiliki selepas sejam aksi berlangsung apabila Pote menyempurnakan hantaran silang rendah Jodel Dossou dari sayap kiri.

Ketangkasan luar biasa Farnolle kemudiannya menafikan sepakan bebas Thomas Partey untuk Ghana akur tercicir mata dalam aksi pembukaan mereka.