Bagan Datuk FC muncul juara Kejohanan Bolasepak Remaja Piala Merdeka B-16 Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) di padang Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), lpoh, semalam.

Pasukan itu menumpaskan Klebang Putra Soccer Academy (KPSA) melalui lambungan syiling berikutan keadaan tidak mengizinkan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Berikutan itu, kedua-dua pasukan membahagikan sama rata hadiah wang tunai RM3,000.

Selain itu, Bagan Datuk juga memenangi anugerah penjaga gol terbaik melalui
Fakrul Daniel dan pertahanan terbaik kejohanan melalui Daniel Hakim Efandy.

KPSA juga tidak pulang tangan kosong apabila memenangi anugerah pemain tengah terbaik melalui Haikal Shakir selain Amirul Hakim (penyerang terbaik kejohanan).

Bagan Datuk mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Taiping Elite 2-0 manakala KPSA mengatasi Hilir Perak 5-4 melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Taiping Elite dan Hilir Perak berkongsi kedudukan ketiga untuk masing-masing memenangi RM500.

Sebanyak 24 pasukan menyertai kejohanan sehari itu sempena sambutan Hari Kemerdekaan.