Piala Malaysia: Zainal Abidin gesa Melaka United jangan ambil mudah pihak lawan

Muzaffar Musa
November 2, 2021 11:48 MYT
Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abdin Hassan, mahu pemainnya segera menghapuskan sikap terlalu selesa seandainya mahu melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
Ini selepas pasukan Hang Tuah itu hampir dikejutkan Kelantan United dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.
Melaka, yang telah mengesahkan tempat dalam suku akhir Piala Malaysia, ketinggalan tiga kali di belakang Kelantan United sebelum Manuel Ott menyamakan kedudukan untuk perlawanan itu berkesudahan 3-3.
Biarpun keputusan itu tidak menjejaskan kemaraan pasukannya, Zainal Abidin jelas tidak senang dengan sikap mengambil mudah lawan oleh anak buahnya.
"Itulah mentaliti mereka apabila sudah layak. Perkara seperti inilah yang saya perlu tekankan. Kami tidak boleh mengambil mudah kerana pasukan lawan akan memberikan tentangan yang hebat," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Memang betul dan tidak dapat dinafikan, kami menghadapi tekanan yang begitu hebat daripada pasukan lawan.
"Momentum pasukan ini perlu dikekalkan dan kami tidak boleh menurunkannya.
"Kami perlu ke depan kerana ia merupakan satu persiapan menjelang suku akhir," katanya.
#bola sepak #Melaka United #Piala Malaysia #Zainal Abidin Hassan #Kelantan United