Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, yakin kedudukannya dalam pasukan itu tidak akan terjejas meskipun tewas besar dua kali berturut-turut kepada Sri Pahang FC dalam saingan Kumpulan A, Piala Malaysia.

Ini berdasarkan kepada kejayaannya membawa pasukan Harimau Kumbang itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim ini.

Penang setakat ini menduduki tangga terbawah Kumpulan A dengan tiga kekalahan dan satu keputusan seri selepas empat perlawanan.

Dua daripada kekalahan itu adalah kepada Sri Pahang, di mana mereka tewas 0-4 di laman lawan pada 30 Oktober lalu sebelum sekali lagi diaibkan dengan kekalahan 0-5 di Stadium Bandaraya semalam.

Bagaimanapun, Trucha yakin masa depannya bersama pasukan itu tidak akan terjejas.

"Dalam bola sepak, segala-galanya boleh berlaku tetapi saya percaya pegawai teknikal dalam pasukan ini dapat melihat apa yang kami lakukan sepanjang minggu ini dan dapat melihat berapa ramai pemain yang kami hilang dan usaha yang kami lakukan," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Bagi saya, bola sepak adalah mengenai jangka panjang. Setiap kali kita mengusahakan sesuatu, kemudian membuangnya hanya selepas dua perlawanan, saya fikir ia bukan perkara yang betul."

*Kredit foto: Penang FC