Pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, hanya selangkah lagi untuk merealisasikan impiannya membawa pulang Piala Malaysia ke Terengganu selepas kali terakhir dia melakukannya sebagai pemain, 20 tahun lalu menerusi edisi 2001.

Begitupun, bekas pemain tengah itu sedar tugas perit menanti apabila bakal menyambut kunjungan juara 2019, Johor Darul Ta'zim, dalam separuh akhir pertama Isnin ini.

"Ia impian semua jurulatih yang pernah bergelar jurulatih.

"Tapi untuk mencapainya bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Dua gol daripada Jordan Mintah serta tambahan lagi dua gol, masing-masing daripada Faisal Halim dan Faiz Nasir menutup sisa kebangkitan Sarawak United untuk melangkah ke separuh akhir dengan aggregat 6-3.

"Kami ikut amanat jurulatih. Semuanya pantas, tajam dan segalanya berhasil.

"Kalau terus mengikut percaturannya, kami mampu memenangi piala ini," kata pemain import dari Ghana itu.





Pujian juga buat Sarawak United, menjadi wakil tunggal Liga Perdana sempat memberikan tentangan menerusi gol Sandro Da Silva dan Uche Agba.

Apatah lagi mereka masih diselubungi isu tunggakan gaji yang sepatutnya diselesaikan akhir bulan ini.

"Kami tetap galas tanggungjawab sebagai pemain profesional dengan tunjukkan sikap yang bagus.

"Pemain telah mengerah keringat dan saya rasa pihak pengurusan juga ada usahanya juga," kata jurulatih Sarawak United, E. Elavasaran.