Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh, menganggap anak buahnya tiada 'semangat pahlawan' sehingga tewas 1-3 kepada Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan Kumpulan A, Piala Malaysia di Cheras semalam.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui ketumpulan penyudah dan kesilapan mudah pemainnya menjadi punca utama mereka terus dibelenggu aksi hambar musim ini.

"Saya nampak perwatakan pemain kami masih lagi tiada semangat melawan. Apabila kami dibolosi, permainan kami masih tidak meningkat," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Perkara ini telah saya tegur sejak dari awal lagi. Kami perlu membuang sikap putus asa ini kerana ramai dalam pasukan ini cepat mengaku kalah.

"Apabila mereka buat silap, mereka sendiri yang mengaku kalah, jadi inilah yang menjadi masalah.

"Sepatutnya apabila kita buat silap, kitalah yang kena betulkan dan rakan-rakan perlu membantu memberikan semangat kepada pemain yang buat silap itu.

"Sikap seperti itulah yang kami tidak ada," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak, mengakui pasukannya belum menunjukkan keupayaan sebenar walaupun garang membenam Tok Gajah di laman sendiri.

"Saya fikir mereka (pemain) telah memberikan 100 peratus tetapi kami masih belum berada dalam prestasi terbaik kerana kami melalui banyak perlawanan dan terdapat beberapa pemain yang cedera.

"Terdapat juga beberapa pemain yang baru pulih daripada kecederaan, jadi mereka memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk mengembalikan prestasi," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Kuala Lumpur itu, pemain import KL City, Romel Morales, muncul wira apabila menjaringkan dua gol selepas pemain pertahanan, Daniel Ting, terlebih dahulu menemui sasaran.