Pemangku jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil, meletakkan sasaran ke suku akhir dalam saingan Piala Malaysia hujung bulan ini meskipun sedar pasukannya sedang dipalit pelbagai masalah.

Shahril Nizam yakin kekuatan pemain muda mampu memacu pasukannya untuk ke peringkat itu meskipun kehilangan beberapa tonggak utama berikutan masalah tunggakan gaji sebelum ini selain tersingkir ke kancah Liga Perdana musim depan.

Menjelang saingan bola sepak tertua di Malaysia itu, Perak diletakkan dalam Kumpulan B bersama Terengganu FC dan Selangor FC selain pasukan ketiga terbaik daripada Liga Perdana.

Bagaimanapun, pentas itu akan digunakan The Bos Gaurus untuk mengubati luka kekecewaan sepanjang tahun ini.

"Bagi tahun ini, saya berasakan bahawa pasukan Perak merupakan pasukan bukan pilihan kerana seperti yang kita tahu, Selangor dan Terengganu merupakan pasukan pilihan (dalam kumpulan ini)," katanya dalam satu temu bual Nadi Weekend.

"Bagi saya, ini merupakan satu cabaran dan saya juga telah memberikan taklimat kepada pemain supaya fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan untuk kami mencuba mendapatkan satu slot ke suku akhir," katanya.

Perak menyenaraikan lapan pemain daripada skuad muda mereka menjelang saingan kali ini dan Shahril Nizam berharap pemain yang terpilih akan memanfaatkan peluang yang diberikan sambil mengakui akan menggunakan lebih ramai pemain muda yang berpotensi.

"Kebelakangan ini, saya dapat lihat prestasi mereka mula meningkat dan saya berharap mereka dapat mengekalkan konsistensi mereka dalam saingan Piala Malaysia.

"Saya juga berharap kesemua pemain dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk mencabar pasukan-pasukan lain dalam Piala Malaysia," katanya lagi.