Selangor ibarat Real Madrid di Malaysia, kata ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, seperti melancarkan perang psikologi dengan menganggap kemenangan 2-0 ke atas lawan itu dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia semalam tidak menjadikan pasukannya sebagai pasukan pilihan.

Kejayaan itu meletakkkan The City Boys sebelah kaki untuk ke separuh akhir menerusi bekalan dua gol di laman lawan.

Biarpun berhasil mencipta sejarah menamatkan kemarau 21 tahun kemenangan ke atas Selangor di tempat lawan, Hodak mendedahkan bahawa dia tidak gembira dengan situasi perlawanan itu.

Ia susulan beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat dan jurulatih dari Croatia itu mengesahkan bahawa KL City akan mengemukakan laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara berkenaan.

"Selangor adalah Real Madrid di Malaysia, bukankah begitu?" katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Johor (Darul Ta'zim) ketika ini mungkin seperti Barcelona tetapi sepanjang 30 tahun lalu, Selangor sentiasa nombor satu.

"Mereka sentiasa menjadi kelab terbesar dalam Malaysia dan jika anda melihat perbelanjaan mereka, ia empat kali ganda lebih besar berbanding kami, di mana ia satu perbezaan yang besar.

"Mereka mempunyai pemain terbaik nombor 10, iaitu Shahrel Fikri (Fauzi), di mana jika anda memberikannya ruang dari jarak semeter, dia akan menjadi amat berbahaya.

"Jadi, kami telah melakukan kerja rumah dengan amat baik untuk menghalang mereka dan pemain kami memahami perkara itu.

"Jadi, kami tidak sabar untuk perlawanan berikutnya," katanya

Dalam pertemuan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Romel Morales mencuri tumpuan apabila meledakkan gol pembukaan seawal minit ke-12 sebelum pemain gantian, Hadin Azman, menggandakan kelebihan pelawat dalam babak kedua.

Ia merupakan gol kesembilan pemain dari Colombia itu dalam kempen Piala Malaysia kali ini, sekali gus berada dalam perancangan pasukan itu untuk dijadikan pemain naturalisasi negara.

"Dia (Morales) mungkin ada sedikit tuah yang memihaknya tetapi segala usaha keras yang dilakukannya kini telah membuahkan hasil dalam Piala Malaysia.

"Dan jika anda lihat, kami bergurau dengan berkata bahawa jika kami melepasi garisan tengah, kami perlu memastikan dia melakukan percubaan kerana setiap kali dia melakukannya, bola itu akan berada di dalam gawang. Ia menunjukkan bahawa seorang penyerang itu sedang membara.

"Dia juga menjaringkan gol hari ini, dia amat berbahaya, dia amat kuat, mempunyai kemahiran teknikal yang bagus, jadi dia seorang pemain yang bagus untuk Malaysia.

"Jika anda mahu memberikan pasport buat seseorang, pemain seperti inilah yang sepatutnya -- dia baru berusia 23 atau 24 tahun -- bukannya memberikannya kepada pemain yang sudah berusia 30an," tambahnya.