Piala Malaysia: Sasaran Selangor tidak berubah

Ammar Hakim
September 24, 2021 12:29 MYT
Sasaran Selangor FC untuk ke suku akhir tidak akan berubah, walaupun perjalanan kali ini dijangka berliku apabila diundi dalam kumpulan yang sama dengan Terengganu FC, Perak FC dan Kuching City FC dalam saingan Piala Malaysia.
Menerusi pengendalinya, Karsten Neitzel, menegaskan motivasi dalam kem The Red Giants juga kekal tinggi di sebalik kempen hambar dalam saingan Liga Super.
Musim sulung Neitzel bersama Selangor dipacu import Eropah seperti Tim Heubach, Oliver Buff dan Manuel Konrad tidak menawarkan pulangan yang diharapkan.
Di sebalik kebangkitan hujung musim yang menyaksikan lima kemenangan daripada tujuh aksi terakhir, Selangor menamatkan kempen di kedudukan kelima liga.
Namun sasaran ke suku akhir dilihat munasabah -- dengan langkah pertama, melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu.
"Saya berasakan setiap kumpulan adalah sukar namun kami akan cuba untuk memastikan tempat ke suku akhir, itulah sasara awal Selangor," kata Neitzel.
"Ia adalah langkah pertama dan perlu mencapainya dalam saingan Piala Malaysia nanti."
Selangor akan memulakan kempen Piala Malaysia Ahad ini dengan melayan kunjungan Perak yang tersingkir ke Liga Perdana.
Di atas kertas, Selangor sepatutnya tiada masalah untuk mengutip tiga mata, selepas mengatasi The Bos Gaurus dalam kedua-dua pertemuan Liga Super awal musim ini.
"Mereka mampu menampilkan aksi yang mengejutkan namun Selangor harus menampilkan pendekatan kami sekaligus yakin dengan kemampuan pasukan."
#Selangor #Karsten Neitzel #Selangor FC