Piala Malaysia: Sarawak United singkir Sri Pahang

Shaiful Shamsudin
November 7, 2021 15:27 MYT
SRI PAHANG 1 SARAWAK UNITED 2
Sarawak United memilukan hasrat Sri Pahang dalam Piala Malaysia dengan jaringan kemenangan 2-1 pada masa kecederaan di Stadium Darulmakmur, sebentar tadi.
Jaringan pemain gantian, Rahim Razak, itu mengecewakan tuan rumah yang mempamerkan prestasi garang dalam dua perlawanan terakhir, tetapi pada akhirnya terbukti ia sudah terlewat untuk menyekat kemaraan pasukan kendalian E Elavarasan berkenaan.
Tok Gajah mengorak langkah awal dengan memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-14 menerusi Kenny Athiu sebelum giliran pemain import Sarawak United, Sandro da Silva, menjadikan kedudukan 1-1 apabila licik menghidu peluang di depan kotak penalti.
Walaupun mendominasi separuh masa kedua selain dihadiahkan deretan sepakan pegun, Sri Pahang terus buntu untuk merobek gawang lawan buat sekian kalinya..
Namun, percaturan Sarawak United memasukkan Rahim di penghujung permainan akhirnya membuahkan hasil apabila menemui sentuhan pemusnah selepas kelincahan Uche Agba di sebelah sayap kiri.
"Kami banyak bertahan, Sri Pahang pula banyak peluang.
"Kami dikira bernasib baik kerana dapat gol pada saat-saat akhir," kata Elavarasan selepas kelab Borneo itu menjamin tempat ke suku akhir dengan mengiringi Kuala Lumpur (KL) City yang belum tewas dalam kempen ini.
KL City -- yang turut meraih tiga mata mencengkam persada Kumpulan A menerusi jaringan tunggal daripada Romel Morales ketika membenam Penang sebentar tadi -- akan berdepan Sri Pahang sementara Sarawak United, Rabu ini, bagi melengkapkan saingan Kumpulan A.
Dalam dua perlawanan Kumpulan B, kesilapan di bahagian pertahanan menyaksikan Selangor diratah 1-3 oleh pelawat, Terengganu.
Kuching City pula mencipta kemenangan sulung apabila menundukkan Perak 1-0.
#Piala Malaysia #Liga-M