Bekalan satu gol yang dibawa pulang Melaka United daripada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas semalam ibarat memberikan langkah kanan buat pasukan itu menjelang aksi kedua di Stadium Hang Jebat, Khamis ini.

Ketika skuad Hang Tuah itu hanya dipisahkan satu perlawanan untuk melangkah ke separuh akhir, Sabah FC pula masih belum mahu mengaku kalah dan memberikan jaminan akan mempamerkan prestasi lebih gah sebaik mengenal pasti beberapa kelemahan sewaktu tewas 0-1 kepada pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu

Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee, berkata kekalahan di laman sendiri itu bukan penamat buat barisan pemain mudanya dan bersedia untuk memadamkan jurang itu di gelanggang lawan dalam perlawanan timbal balik.

"Dalam perlawanan, kita perlu membuat keputusan dengan cepat dan apabila pemain muda kami perlu berfikir dengan pantas, mereka mungkin agak lewat dan ia menunjukkan bahawa mereka kekurangan pengalaman," katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin mengakui Sabah bukan lawan yang mudah sehingga pasukannya terpaksa bergelut untuk mempertahankan kelebihan satu gol, sekali gus menunjukkan bahawa mereka tidak boleh memandang remeh lawan itu sepanjang 90 minit kedua di laman sendiri seandainya mahu mengesahkan laluan ke separuh akhir.

"Dalam separuh masa pertama, boleh dikatakan yang kami mendapatkan peluang dan menguasai perlawanan tetapi malangnya kami tidak dapat menjaringkan gol.

"Tetapi dalam separuh masa kedua, apabila kami sudah mendahului satu gol, sudah pasti pihak lawan akan melakukan asakan dan ia amat ketara," kata Zainal Abidin.


*Kredit foto: Sabah FC