SABAH 2 KELANTAN 1

Sabah memerlukan jaringan lewat permainan untuk menghidupkan peluang bagi melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia dengan menjinakkan Kelantan 2-1, di laman sendiri sebentar tadi.


Belum pun permainan mencecah usia 10 minit, kedudukan sudah 1-1 apabila sepakan penalti daripada Amri Yahyah pada minit ke-7 memadam gol sepakan kencang oleh Che Safwan Hazman Che Hassan (m-5).

Namun, tolakan Sahrizan Saidin pada masa kecederaan memberikan Sang Badak kemenangan pertama selepas 14 perlawanan selain kejayaan pertama mereka dalam kancah itu musim ini.

Ia meletakkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu terpisah dengan kelab di tangga kedua Kumpulan D, Petaling Jaya (PJ) City, menerusi jurang jaringan menjelang pertemuan getir kedua-dua pasukan Selasa depan.

Kemaraan PJ City tertangguh malam ini apabila tumbang 1-2 walaupun memberi tentangan sengit kepada pendahulu kumpulan, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang muncul pasukan tunggal yang belum tumpas selepas lima perlawanan.






Sementara itu, Kedah Darul Aman terus memberi tekanan kepada Melaka United dalam perebutan puncak Kumpulan C.

Kemenangan 3-1 dalam kunjungan ke Kota Bharu itu memastikan Lang Merah di tangga kedua, tetapi kelebihan satu mata milik barisan kendalian Zainal Abidin berkenaan akan menjadi pertaruhan dalam perhitungan mereka di Stadium Hang Jebat kelak.

"Selasa ini pasti menjadi perlawanan yang sungguh penting. Kami perlu mencapai kemenangan untuk ke suku akhir.

"PJ City bukan mudah untuk ditewaskan kerana memiliki pemain tempatan berkualiti. Kami perlu berada di tahap terbaik ketika berdepan mereka," kata Kim Swee selepas perlawanan.